Thursday 28 April 2016

Pas VVIP Bidadari

Hawa diciptakan untuk bani Adam. Penciptaan bani Hawa ialah meneruskan keturunan melalui nikah mengikut syarak. Oleh itu, Hawa diberikan kelonggaran tidak solat fardu dan puasa fardu Ramadan.

Apapun, kekurangan itu bukan alasan membiarkan Ramadan berlalu tanpa pengisian manfaat. Wanita masih berpeluang mengutip faedah seperti kaum Adam. Wanita diharamkan solat dan puasa fardu tetapi boleh buat ibadah sunat seperti berikut.

ü  Jawab azan setiap kali azan berkumandang.
ü  Doa antara azan dan iqamah.
ü  Ajak seisi keluarga beramal seperti lewatkan sahur, solat jemaah di masjid, mengaji sambil faham makna al-Quran, berakhlak mulia dan segera iftar dengan kurma atau air kosong.
ü  Lebihkan zikir munajat, doa harian, selawat, istighfar dan infaq tanpa mengungkit dari masa ke semasa.
ü  Dengar bacaan al-Quran dari media elektronik seperti laman sosial.
ü  Hadir dan dengar tazkirah, halaqah atau majlis ilmu yang bermanfaat.
ü  Hidupkan budaya cinta ilmu dengan bahan bacaan bermanfaat dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.
ü  Ikhlas sediakan hidangan iftar“Sesiapa yang menyediakan juadah iftar untuk orang yang berpuasa, baginya seperti pahala orang yang berpuasa.” [Terjemahan Imam Tirmizi].

Wanita itu mudah masuk syurga dan neraka. Wanita berjaya ialah mendapat bimbingan dari lelaki atau suami. Kaum Adam mendidik penuh kasih sayang. Kesannya berpengaruh kepada rumah tangga dan masyarakat. Syaratnya, mendidik menurut apa yang Allah dan Rasul kata.

Hakikatnya, suami atau isteri wajib menjalankan peranan mengikut syarak. Cipta peranan syurga dalam rumah tangga. Sediakan suasana tarbiyah. Pastikan bersama imarahkan kalimah tauhid Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

“Bertaqwalah kamu sekalian dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu sekali-kali mati kecuali dalam keadaan Muslim (beragama Islam).”

[Terjemahan ‘Ali-Imran ayat 102]

HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2016 QALAM ARDINI

Friday 22 April 2016

Indeks Ramadan

Hanya Mukmin sejati memiliki kepekaan yang tinggi menyukat statusnya di mata Allah. Tidak kiralah status sosial apa yang disandang, kita ada potensi dan peluang. Yang pasti, Mukmin sejati, punyai rasa takut. Waktu yang sama, teruja untuk beramal soleh sebelum, semasa dan selepas Ramadan.
Ajaibnya tabiat mereka, tidak pinggirkan dunia kerana zuhud. Sebaliknya progresif menjadikan dunia sebagai peluang memburu redha Allah. Inilah prinsip asas yang wajar kita hayati.
            Usah berputus asa dan kecewa tanpa tujuan. Allah dan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kasihkan kita semua. Segala niat dan amal dalam pengetahuan Dia. Mulakan langkah.
Berikut ialah spesifikasi merangkul piala taqwa untuk semakan.    
Puasa Pakej
Tertinggi (Khusus al-Khusus)

ü  Puasa dengan menahan diri dari makan, minum, jimak termasuk perihal yang membatalkan puasa kerana menjaga anggota pancaindera (seperti mata, telinga, mulut, tangan atau kaki) dari segala yang tidak disukai Allah Taala semata-mata mengharap redha-Nya sahaja.
ü  Puasa sebegini perlukan mujahadah pengorbanan luhur dari seorang hamba Tuhan khusu buat Pencipta-Nya (puasa terhebat).
ü  Hasil puasa golongan ini melahirkan manusia yang rasa berTuhan kerana pesona taqwa mendarah daging dalam diri pemiliknya.
ü  Karektor hamba ini sangat menjaga ibadah fardu dan sunat ke peringkat ihsan, sangat menjauhi yang haram dan makruh seikhlas hati dan memiliki hati yang penuh dengan hikmah yang disenangi oleh semua makhluk Tuhan.
ü  “Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia ada di hadapanmu. Jika engkau memohon, mohonlah kepada Allah dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” – Imam Ahmad.
Puasa Pakej Sederhana (Khusus)

ü  Puasa dengan menahan diri dari makan, minum, jimak termasuk perihal yang membatalkan puasa atau kerana mengharapkan ganjaran, keampunan dan syurga serta terhijab dari azab neraka Allah Taala. 
ü  Ini pula adalah pakej pilihan kebanyakan manusia yang biasa dan impak mendapat status taqwa juga sederhana sahaja.
ü  Hasil puasa sebegini mengetahui kewujudan Allah tetapi kurang keyakinan rasa berTuhan dan masih boleh digilap meraih taqwa.
ü  Karektor hamba ini menjaga ibadah fardu, menjana ibadah sunat, sangat mudah terpengaruh bergantung kepada suasana dan pergaulan dan memiliki hati yang berbolak-balik.
ü  “Apabila perhatian seorang hamba ditujukan kepada akhirat, maka Allah akan menjaga hajatnya dan mengayakan hatinya. Dan apabila perhatiannya tertuju hanya kepada dunia, maka Allah akan memperbanyakkan masalahnya dan menjadikan kefakiran di depan matanya. Ia akan bangun pagi dalam keadaan fakir dan masuk ke petang dalam keadaan fakir.” – Imam Hasan al-Basri.
Puasa Pakej Rendah (Awam)

ü  Puasa dengan menahan diri daripada makan, minum, jimak termasuk perihal yang membatalkan puasa. 
ü  Puasa sebegini digemari oleh kebanyakan orang tetapi kurang popular kerana sangat sukar merangkul taqwa.
ü  Hasil puasa ini perlukan usaha berterusan, jika tidak digilap ianya menjadi faktor penyumbang terbesar kepada isu, konflik dan pelbagai masalah tidak kira bulan Ramadan atau bulan-bulan yang lain.
ü  Karektor hamba ini lalai menjaga ibadah fardu, sangat berkira-kira ibadah sunat, sangat pakar dalam urusan dunia tetapi jahil soal akhirat dan hidup seperti ini hatinya tertutup mengenali Tuhan.
ü  “Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar.” – Imam Hasan al-Banna.

Agak-agak kita mahu pakej yang mana? Semak taraf kita di sisi Allah. Apa yang boleh kita baiki? Insya-Allah, bersama kita semarak Ramadan seisi keluarga.

Buang yang keruh, ambil yang jernih.     

Wallahua'lam.
HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2016 QALAM ARDINI 

Wednesday 20 April 2016

Didikku Kerana Agama-Mu

Topik ini dikarang sekadar berkongsi pengalaman. Para ibu bapa yang mahu mengasuh anak-anak syurga (sebagai amanah) soal puasa boleh mencuba. Penekanan puasa tidak boleh di pandang ringan selepas kita mentarbiyah bab solat fardu.
Sayangkan anak-anak, ajarilah mereka puasa. Puasa adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan mengikut aturan-Nya. Hidangkan juadah dengan mengutamakan soal halal, baik dan berkat.
Bila kita berusaha mendidik anak-anak puasa, insya-Allah hasrat melahirkan generasi soleh solehah tercapai. Dengan syarat, budaya “matlamat tidak menghalalkan cara” dijauhi.
Puasa dapat meneguhkan akidah, mengagungkan syariah serta melentur nilai-nilai murni menurut Islam. Buktinya, dengan merujuk para Mukmin terdahulu sebagai inspirasi. Kagum kerana kehebatan mereka mengasuh anak-anak soal puasa diperakui.
Hasilnya lahir para cendekiawan terulung. Hingga kini menjadi rujukan hal ehwal urusan untuk dicontohi. Jaminan maqasid syariah kekal realistik menjaga akal, nyawa, harta, keturunan dan agama. Kemasyhuran para pejuang Islam ini, dikhabarkan hebat mentadbir dunia, cemerlang persiapan akhirat.

Isu Umur
Berapakah usia ideal melatih anak-anak syurga kita puasa? Setiap kali menyambut Ramadan, para agamawan dan ilmuwan berkongsi nasihat dengan sabar. Sebaiknya, buat persediaan sebelum menyambut Ramadan bersama keluarga.
Apapun, usaha perlu diperkasakan. Sedikit demi sedikit, anak-anak pasti faham hikmah syiar Ramadan. Jika berjaya, pujian buat ibu bapa. Syukur kerana kita ikhtiar menurut apa yang Allah dan Rasul kata. 
Harus diingat, jika anak-anak berjaya, beri ganjaran sebagai balasan. Ceritakan soal balasan mengikut kadar kefahaman mereka. Moga anak-anak tahu, bukan keliru bagaimana imarahkan sambutan Ramadan yang syarak kehendaki. 
            Dalam bab solat, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pesan,
“Perintahkan anak-anak kamu bersolat semasa mereka berumur tujuh tahun.  Jika mereka tidak melakukannya sampai umur sepuluh tahun, pukullah mereka.”
[Terjemahan Imam al-Hakim dan Imam Abu Daud]
Meskipun penekanan ini lebih khusus bab solat fardu, tidak salah untuk kita aplikasikan kaedah puasa. Kanak-kanak ini tiada dosa. Hati mereka sangat bersih berbanding diri kita.
Maka, dedahkan bab akidah dan akhlak dalam diri mereka. Bila dari awal kita tanam dengan Islam, generasi soleh solehah idaman bakal tercipta.
            Justeru, isu umur bukan lagi alasan dan mitos. Didik anak-anak dengan penuh keimanan dan kesabaran. Ini yang perlu ditekankan.

Sesi Latihan Amali
·         Ramadan adalah sesi latihan permulaan.
·         Lakukan dengan penuh kasih sayang syarie.
·         Sebagai contoh, anak kita gemar nasi ayam dan air milo.
·     Buatlah perjanjian bersyarat iaitu jika berjaya puasa, barulah tunaikan janji dengan hidangan nasi ayam dan air milo tadi sebagai ganjaran.
·         Bila sudah biasa, lama-kelamaan mereka rasa seronok dan gembira.
·         Kenangan latihan puasa ini sentiasa diingati.
·         Didikan ibu bapa yang ikhlas pasti membuahkan kesan ke atas pengaruh anak-anak kelak.

Cabaran Mendidik 
·    Teknik yang lain ialah sewaktu puasa, alihkan perhatian dengan melekakan mereka jika rasa lapar.
·         Berikan mainan atau ajak mereka lakukan aktiviti yang seronok.
·      Umpamanya, lekakan mereka dengan permainan seperti catur, melukis, mewarna, membaca, suduko, video, ipad atau menonton youtube kegemaran mereka.
·         Jika tidak berjaya, tidurkan mereka.
            Imam al-Bukhari r.h.m ada menyatakan daripada al-Rubaiyyi’ Binti Mu’awwiz r.h.m. bahawa wanita-wanita Ansar akan didik anak-anak kecil mereka untuk turut berpuasa.
Jika mereka lapar, mereka berikan sejenis permainan untuk anak-anak mereka alih perhatian. Kerana leka bermain, mereka lupa hingga tiba waktu iftar.
            Mudah dan indahnya Islam itu ibarat pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Hikmah Puasa Usia Muda
“Wahai orang yang beriman, perliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.”
[Terjemahan at-Tahrim ayat 6]   
Mendidik anak adalah amanah bersama. Carilah jalan agar anak-anak membesar dengan Ramadan yang menginsafkan. Fahami tuntutan syariat puasa bersama keluarga. Moga kasih ibu dan sayang ayah mendorong anak-anak imarahkan Ramadan hingga ke syurga.

Raikan Kanak-Kanak
Biarpun zuriat kita puasa sekadar menghilangkan lapar dan dahaga, usah bersedih. Kita pernah merasainya. Apa yang penting, pastikan kita bukan lagi berpuasa sekategori mereka.
Sebagai permulaan, ini adalah suatu latihan puasa (bermula dari rumah). Didikan ini masih relevan merentas zaman. Bezanya, kita faham atau tidak tujuan puasa dan bagaimana imarahkan Ramadan.
            Untuk makluman, sekiranya anak-anak tidak dapat menghabiskan seharian puasa penuh, pastikan tiada paksaan. Beri peluang dan pujian. Jika kita paksa, besar kemungkinan mereka tidak akan bersikap jujur.
Perkara ini akan memberi impak buruk terhadap perkembangan anak-anak menurut pakar. Namun, jika anak-anak telah baligh tetapi mereka puasa beberapa jam sebelum waktu iftar, maka hukumnya berdosa. Wajib qada’ puasa yang ditinggalkan itu.
Skim ganjaran dan hukuman interaktif akan menjadikan mereka seronok. Ibadah dilakukan atas kerelaan. Tingkatan iman boleh diteruskan biarpun pasca Ramadan.

Cerita Pahala Dosa
Ganjaran pahala di sisi-Nya tetap ada buat puasa kanak-kanak. Kongsikan cerita menarik pahala, dosa, syurga neraka seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Ulangi khabar gembira dan ingatan seksa neraka jahanam.
Dedahkan dengan beri gambaran sihat bab puasa, solat, berbuat baik kepada ibu bapa, jujur, amanah dan semua sifat mahmudah. Terangkan karektor yang perlu dijauhi kerana ianya dibenci Allah dan Rasul sallahu ‘alaihi wasallam.
Waktu sama, kenal pasti sifat mazmumah. Umpamanya kesan meninggalkan puasa, solat, gemar berbohong, mencuri atau bergaduh. Ianya boleh merosakkan diri dan hidup jika tidak ditegur. Sentiasa beri contoh dan doakan yang baik-baik.
            Raikan cahaya Ramadan mengikut potensi kefahaman usia anak-anak. Beri ruang dan peluang mereka membesar sebagai khalifah soleh solehah. Ajari mereka cinta Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, famili Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan mengaji.

Tips Syiar Ramadan
            Berikut adalah tips mudah dalam usaha mendidik diri dan keluarga.
ü  Wujudkan suasana sambut Ramadan dengan cerita atau kuiz sesama ahli keluarga.
ü  Ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan banyak mengaji, infaq, doa, istighfar, selawat atau rajin solat jemaah di masjid.
ü  Terangkan bab puasa beserta kelebihan mahupun ganjaran-Nya.
ü  Pujilah anak dengan kerap dan elakkan memarahi mereka.
ü  Latih dan ajari anak-anak syurga bangun sahur setiap pagi untuk beri tenaga dan kekuatan di siang hari.
ü  Pastikan anak-anak syurga tidak terlibat dengan aktiviti yang meletihkan badan di siang hari.
ü  Bina suasana dorong mendorong tunaikan ibadah puasa di kalangan anak-anak dengan ganjaran berupa kegemaran mereka seperti makanan, minuman, barangan atau hajatnya.
ü  Elakkan menunjuk makanan yang lazat kerana dikhuatiri anak-anak akan terpengaruh dan besar kemungkinan akan iftar sebelum waktunya.
ü   Jika anak-anak berjaya puasa, berikan pujian dan semangat. Jika sebaliknya, jangan memarahi mereka kerana dikhuatiri anak-anak akan memberontak dan melakukan khianat.
ü  Ibu bapa wajar berdoa kepada Allah Taala agar diberi kekuatan dan kesabaran mendidik anak hal ehwal puasa.
Tunaikan peranan bersama pasangan untuk mendidik. Mereka perlukan kasih ibu dan sayang ayah untuk jalankan perintah Allah. Hargailah anak-anak kerana mereka adalah milik Pencipta. Bersyukurlah, ada pasangan yang berkahwin bertahun-tahun tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Tempah syurga tanpa hisab, asbab mendidik anak-anak mengikut acuan-Nya.
 “Wahai sekalian orang beriman, berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”
[Terjemahan Ali-‘Imran ayat 102]


Wallahu'alam.

HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2016 QALAM ARDINI

Tuesday 19 April 2016

Kalkulator Fidyah

Maklumat fidyah ini khusus untuk penganut Islam yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja. Mohon rujuk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing untuk maklumat lanjut.
FIDYAH
Fidyah ialah denda ke atas individu Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadan.
Hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ianya kemudian akan diagihkan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan.
HUKUM FIDYAH
  • Hukum membayar fidyah adalah wajib.
  • Wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
  • Ianya menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah Taala sekiranya tidak dilaksanakan.
PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH
Kiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Bangunan Daruzzakah secara tunai atau melalui cek atau pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN. Boleh juga dibayar menerusi atas talian. Sebaiknya, hadir ke Majlis Agama Negeri masing-masing.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh Majlis Agam Negeri di sesuatu tempat. Kiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
SEBAB-SEBAB FIDYAH
1.    Uzur syarie.
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2.    Wanita hamil.
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3.    Ibu yang menyusukan bayi
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4.    Meninggal dunia.
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5.    Melambatkan Qada’.
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
TAKSIRAN FIDYAH
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
KADAR BAYARAN FIDYAH
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.75.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadan, maka kadar fidyahnya ialah:-
RM1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM15.75.

Wallahu’alam.

Sumber : Laman Rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2016 @ QALAM ARDINI

Kenali Dosa Maksiat

Tidak kita nafikan bahawa hati adalah ‘Raja’. Jika baik, maka eloklah anggota manusia keseluruhannya. Jika rosak, maka rosaklah anggota yang lain. Apakah yang membantutkan amal soleh kita?
Kenali dosa atau maksiat sebagai benteng yang merencatkan Ramadan kita.
i)               Maksiat Hati.
ii)             Maksiat Akal.
iii)            Maksiat Mulut.
iv)           Maksiat Mata.
v)             Maksiat Telinga.
vi)           Maksiat Tangan.
vii)          Maksiat Kaki.
viii)        Maksiat Perut.
ix)           Maksiat Kemaluan.

           Maksiat-maksiat ini akan terbawa-bawa pasca Ramadan jika dibiarkan. Apapun, kita cegah menerusi rangkaian ibadah. Harap ianya berkesan. Sebaiknya, kita jaga ibadah fardu. Waktu sama, ibadah sunnah ditingkatkan demi piala taqwa.

HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2016 QALAM ARDINI

Friday 15 April 2016

Israk Ramadan Mikraj Taqwa 1437H

Tidak ada insan yang mencintai kita seperti Allah dan Rasul.

Kerana cinta, Allah berikan al-Quran.
Kerana cinta, Allah ciptakan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Kerana cinta, Allah berikan Ramadan.

Al-Quran dan hadis adalah lambang cinta teragung buat kita.
Ramadan adalah hadiah terindah buat pencinta dan pendosa.
Ramadan datang dan pergi.

Mengapa kita masih tidak berubah lagi?
Ambillah kesempatan.
Mulakan sekarang.

Taqwa itu perisai dari:-

ü  neraka jahanam.
ü  pelindung tipu daya durjana.
ü  benteng musuh laknatullah.

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.”
[Terjemahan al-Hujarat ayat 13]

Indeks Ramadan.
+ Apakah persediaan kita?
+ Nafsu atau iman?
+ Ramadan atau Syawal?


Ramadan Tanpa Cinta.

Ada yang berminat mahu dapatkan infonya?

Kita berukhwah di fesbuk - Qalam Ardini. Insya-Allah.

Allah humma solli 'ala Muhammad.
Salam Jumaat.

09.07.1437H.

Friday 1 January 2016

Seindah Nabi, Setenang Khadijah

Mengucap dua kalimah syahadah, menjaga solat, puasa fardu, melunaskan zakat serta merancang untuk menunaikan haji – ini tandanya kita taat perintah Allah seumpama menjaga nyawa kita. Kita perkasakan dengan ilmu fardu ‘ain dan ilmu penyucian jiwa (Tasawuf).

Di waktu yang sama, kita pelajari ilmu akidah atau mentauhidkan Allah. Bagaimana? Meyakini soal asas iman, Islam dan ihsan.

+ Beriman kepada Allah.
+ Beriman kepada Malaikat.
+ Beriman kepada Rasul.
+ Beriman kepada Kitab.
+ Beriman kedapa Hari Kiamat.
+ Beriman kepada Qadak dan Qadar.

Kesemua ini perlu kita zahirkan dengan hati, lisan dan perbuatan. Dalam soal memillih jodoh, Nabi s.a.w. beri kita panduan. Ketaatan kepada penghayatan cara hidup Islam, bakal menjadi tanda aras memilih pasangan.

Sebelum bersetuju membina masjid bersama pasangan, kita wajar kenali dahulu. Bahkan ianya telah dipraktikan sendiri oleh puteri kesayangan Nabi s.a.w. Fatimah az-Zahra’ kenal Ali Bin Abi Talib. Kenal bukan bercouple.

Menerusi perkenalan yang sangat terhormat dan penuh adab, suasana telah mendorong pasangan serta ahli keluarga mempertautkan fitrah seorang insan. Jika masih tidak yakin, kita gunakan saluran istikharah. Insya-Allah, bercinta selepas sah bergelar suami isteri lebih sakinah, mawaddah wa rahmah.

Imarahkan Masjid Bersama

            Kita mahu bercinta sambil mencipta masjid sepanjang bersama pasangan dan keluarga. Syaratnya, kita letakkan Allah dan Rasul mengatasi cinta yang lain. Penuhi ketaatan tanpa membuta tuli. Hayati sunnah Nabi s.a.w. bagi mengundang kasih sayang Allah dalam rumah tangga.

Biasakan untuk membuat perkara berjemaah. Suami imam, isteri dan anak-anak makmum. Ajar anak-anak cintakan Nabi s.a.w. keluarga Nabi s.a.w. dan membaca al-Quran. Jika sebelum bernikah kita telah biasa dengan sunnah tadi, insya-Allah kita beroleh rahmat dan reda Allah.

Kunci sakinah, mawaddah wa rahmah itu ialah:-

+ komited dengan itqan.
+ rezeki yang halal dan baik.
+ saling ringan tulang baik suami dan isteri dalam semua segi.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

[Terjemahan an-Nur ayat 32]

HAK CIPTA TERPELIHARA 2016 @ QALAM ARDINI