Wednesday, 20 April 2016

Didikku Kerana Agama-Mu

Topik ini dikarang sekadar berkongsi pengalaman. Para ibu bapa yang mahu mengasuh anak-anak syurga (sebagai amanah) soal puasa boleh mencuba. Penekanan puasa tidak boleh di pandang ringan selepas kita mentarbiyah bab solat fardu.
Sayangkan anak-anak, ajarilah mereka puasa. Puasa adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan mengikut aturan-Nya. Hidangkan juadah dengan mengutamakan soal halal, baik dan berkat.
Bila kita berusaha mendidik anak-anak puasa, insya-Allah hasrat melahirkan generasi soleh solehah tercapai. Dengan syarat, budaya “matlamat tidak menghalalkan cara” dijauhi.
Puasa dapat meneguhkan akidah, mengagungkan syariah serta melentur nilai-nilai murni menurut Islam. Buktinya, dengan merujuk para Mukmin terdahulu sebagai inspirasi. Kagum kerana kehebatan mereka mengasuh anak-anak soal puasa diperakui.
Hasilnya lahir para cendekiawan terulung. Hingga kini menjadi rujukan hal ehwal urusan untuk dicontohi. Jaminan maqasid syariah kekal realistik menjaga akal, nyawa, harta, keturunan dan agama. Kemasyhuran para pejuang Islam ini, dikhabarkan hebat mentadbir dunia, cemerlang persiapan akhirat.

Isu Umur
Berapakah usia ideal melatih anak-anak syurga kita puasa? Setiap kali menyambut Ramadan, para agamawan dan ilmuwan berkongsi nasihat dengan sabar. Sebaiknya, buat persediaan sebelum menyambut Ramadan bersama keluarga.
Apapun, usaha perlu diperkasakan. Sedikit demi sedikit, anak-anak pasti faham hikmah syiar Ramadan. Jika berjaya, pujian buat ibu bapa. Syukur kerana kita ikhtiar menurut apa yang Allah dan Rasul kata. 
Harus diingat, jika anak-anak berjaya, beri ganjaran sebagai balasan. Ceritakan soal balasan mengikut kadar kefahaman mereka. Moga anak-anak tahu, bukan keliru bagaimana imarahkan sambutan Ramadan yang syarak kehendaki. 
            Dalam bab solat, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pesan,
“Perintahkan anak-anak kamu bersolat semasa mereka berumur tujuh tahun.  Jika mereka tidak melakukannya sampai umur sepuluh tahun, pukullah mereka.”
[Terjemahan Imam al-Hakim dan Imam Abu Daud]
Meskipun penekanan ini lebih khusus bab solat fardu, tidak salah untuk kita aplikasikan kaedah puasa. Kanak-kanak ini tiada dosa. Hati mereka sangat bersih berbanding diri kita.
Maka, dedahkan bab akidah dan akhlak dalam diri mereka. Bila dari awal kita tanam dengan Islam, generasi soleh solehah idaman bakal tercipta.
            Justeru, isu umur bukan lagi alasan dan mitos. Didik anak-anak dengan penuh keimanan dan kesabaran. Ini yang perlu ditekankan.

Sesi Latihan Amali
·         Ramadan adalah sesi latihan permulaan.
·         Lakukan dengan penuh kasih sayang syarie.
·         Sebagai contoh, anak kita gemar nasi ayam dan air milo.
·     Buatlah perjanjian bersyarat iaitu jika berjaya puasa, barulah tunaikan janji dengan hidangan nasi ayam dan air milo tadi sebagai ganjaran.
·         Bila sudah biasa, lama-kelamaan mereka rasa seronok dan gembira.
·         Kenangan latihan puasa ini sentiasa diingati.
·         Didikan ibu bapa yang ikhlas pasti membuahkan kesan ke atas pengaruh anak-anak kelak.

Cabaran Mendidik 
·    Teknik yang lain ialah sewaktu puasa, alihkan perhatian dengan melekakan mereka jika rasa lapar.
·         Berikan mainan atau ajak mereka lakukan aktiviti yang seronok.
·      Umpamanya, lekakan mereka dengan permainan seperti catur, melukis, mewarna, membaca, suduko, video, ipad atau menonton youtube kegemaran mereka.
·         Jika tidak berjaya, tidurkan mereka.
            Imam al-Bukhari r.h.m ada menyatakan daripada al-Rubaiyyi’ Binti Mu’awwiz r.h.m. bahawa wanita-wanita Ansar akan didik anak-anak kecil mereka untuk turut berpuasa.
Jika mereka lapar, mereka berikan sejenis permainan untuk anak-anak mereka alih perhatian. Kerana leka bermain, mereka lupa hingga tiba waktu iftar.
            Mudah dan indahnya Islam itu ibarat pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Hikmah Puasa Usia Muda
“Wahai orang yang beriman, perliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.”
[Terjemahan at-Tahrim ayat 6]   
Mendidik anak adalah amanah bersama. Carilah jalan agar anak-anak membesar dengan Ramadan yang menginsafkan. Fahami tuntutan syariat puasa bersama keluarga. Moga kasih ibu dan sayang ayah mendorong anak-anak imarahkan Ramadan hingga ke syurga.

Raikan Kanak-Kanak
Biarpun zuriat kita puasa sekadar menghilangkan lapar dan dahaga, usah bersedih. Kita pernah merasainya. Apa yang penting, pastikan kita bukan lagi berpuasa sekategori mereka.
Sebagai permulaan, ini adalah suatu latihan puasa (bermula dari rumah). Didikan ini masih relevan merentas zaman. Bezanya, kita faham atau tidak tujuan puasa dan bagaimana imarahkan Ramadan.
            Untuk makluman, sekiranya anak-anak tidak dapat menghabiskan seharian puasa penuh, pastikan tiada paksaan. Beri peluang dan pujian. Jika kita paksa, besar kemungkinan mereka tidak akan bersikap jujur.
Perkara ini akan memberi impak buruk terhadap perkembangan anak-anak menurut pakar. Namun, jika anak-anak telah baligh tetapi mereka puasa beberapa jam sebelum waktu iftar, maka hukumnya berdosa. Wajib qada’ puasa yang ditinggalkan itu.
Skim ganjaran dan hukuman interaktif akan menjadikan mereka seronok. Ibadah dilakukan atas kerelaan. Tingkatan iman boleh diteruskan biarpun pasca Ramadan.

Cerita Pahala Dosa
Ganjaran pahala di sisi-Nya tetap ada buat puasa kanak-kanak. Kongsikan cerita menarik pahala, dosa, syurga neraka seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Ulangi khabar gembira dan ingatan seksa neraka jahanam.
Dedahkan dengan beri gambaran sihat bab puasa, solat, berbuat baik kepada ibu bapa, jujur, amanah dan semua sifat mahmudah. Terangkan karektor yang perlu dijauhi kerana ianya dibenci Allah dan Rasul sallahu ‘alaihi wasallam.
Waktu sama, kenal pasti sifat mazmumah. Umpamanya kesan meninggalkan puasa, solat, gemar berbohong, mencuri atau bergaduh. Ianya boleh merosakkan diri dan hidup jika tidak ditegur. Sentiasa beri contoh dan doakan yang baik-baik.
            Raikan cahaya Ramadan mengikut potensi kefahaman usia anak-anak. Beri ruang dan peluang mereka membesar sebagai khalifah soleh solehah. Ajari mereka cinta Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, famili Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan mengaji.

Tips Syiar Ramadan
            Berikut adalah tips mudah dalam usaha mendidik diri dan keluarga.
ü  Wujudkan suasana sambut Ramadan dengan cerita atau kuiz sesama ahli keluarga.
ü  Ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan banyak mengaji, infaq, doa, istighfar, selawat atau rajin solat jemaah di masjid.
ü  Terangkan bab puasa beserta kelebihan mahupun ganjaran-Nya.
ü  Pujilah anak dengan kerap dan elakkan memarahi mereka.
ü  Latih dan ajari anak-anak syurga bangun sahur setiap pagi untuk beri tenaga dan kekuatan di siang hari.
ü  Pastikan anak-anak syurga tidak terlibat dengan aktiviti yang meletihkan badan di siang hari.
ü  Bina suasana dorong mendorong tunaikan ibadah puasa di kalangan anak-anak dengan ganjaran berupa kegemaran mereka seperti makanan, minuman, barangan atau hajatnya.
ü  Elakkan menunjuk makanan yang lazat kerana dikhuatiri anak-anak akan terpengaruh dan besar kemungkinan akan iftar sebelum waktunya.
ü   Jika anak-anak berjaya puasa, berikan pujian dan semangat. Jika sebaliknya, jangan memarahi mereka kerana dikhuatiri anak-anak akan memberontak dan melakukan khianat.
ü  Ibu bapa wajar berdoa kepada Allah Taala agar diberi kekuatan dan kesabaran mendidik anak hal ehwal puasa.
Tunaikan peranan bersama pasangan untuk mendidik. Mereka perlukan kasih ibu dan sayang ayah untuk jalankan perintah Allah. Hargailah anak-anak kerana mereka adalah milik Pencipta. Bersyukurlah, ada pasangan yang berkahwin bertahun-tahun tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Tempah syurga tanpa hisab, asbab mendidik anak-anak mengikut acuan-Nya.
 “Wahai sekalian orang beriman, berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”
[Terjemahan Ali-‘Imran ayat 102]


Wallahu'alam.

HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2016 QALAM ARDINI

No comments: