Friday, 22 April 2016

Indeks Ramadan

Hanya Mukmin sejati memiliki kepekaan yang tinggi menyukat statusnya di mata Allah. Tidak kiralah status sosial apa yang disandang, kita ada potensi dan peluang. Yang pasti, Mukmin sejati, punyai rasa takut. Waktu yang sama, teruja untuk beramal soleh sebelum, semasa dan selepas Ramadan.
Ajaibnya tabiat mereka, tidak pinggirkan dunia kerana zuhud. Sebaliknya progresif menjadikan dunia sebagai peluang memburu redha Allah. Inilah prinsip asas yang wajar kita hayati.
            Usah berputus asa dan kecewa tanpa tujuan. Allah dan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kasihkan kita semua. Segala niat dan amal dalam pengetahuan Dia. Mulakan langkah.
Berikut ialah spesifikasi merangkul piala taqwa untuk semakan.    
Puasa Pakej
Tertinggi (Khusus al-Khusus)

ü  Puasa dengan menahan diri dari makan, minum, jimak termasuk perihal yang membatalkan puasa kerana menjaga anggota pancaindera (seperti mata, telinga, mulut, tangan atau kaki) dari segala yang tidak disukai Allah Taala semata-mata mengharap redha-Nya sahaja.
ü  Puasa sebegini perlukan mujahadah pengorbanan luhur dari seorang hamba Tuhan khusu buat Pencipta-Nya (puasa terhebat).
ü  Hasil puasa golongan ini melahirkan manusia yang rasa berTuhan kerana pesona taqwa mendarah daging dalam diri pemiliknya.
ü  Karektor hamba ini sangat menjaga ibadah fardu dan sunat ke peringkat ihsan, sangat menjauhi yang haram dan makruh seikhlas hati dan memiliki hati yang penuh dengan hikmah yang disenangi oleh semua makhluk Tuhan.
ü  “Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia ada di hadapanmu. Jika engkau memohon, mohonlah kepada Allah dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” – Imam Ahmad.
Puasa Pakej Sederhana (Khusus)

ü  Puasa dengan menahan diri dari makan, minum, jimak termasuk perihal yang membatalkan puasa atau kerana mengharapkan ganjaran, keampunan dan syurga serta terhijab dari azab neraka Allah Taala. 
ü  Ini pula adalah pakej pilihan kebanyakan manusia yang biasa dan impak mendapat status taqwa juga sederhana sahaja.
ü  Hasil puasa sebegini mengetahui kewujudan Allah tetapi kurang keyakinan rasa berTuhan dan masih boleh digilap meraih taqwa.
ü  Karektor hamba ini menjaga ibadah fardu, menjana ibadah sunat, sangat mudah terpengaruh bergantung kepada suasana dan pergaulan dan memiliki hati yang berbolak-balik.
ü  “Apabila perhatian seorang hamba ditujukan kepada akhirat, maka Allah akan menjaga hajatnya dan mengayakan hatinya. Dan apabila perhatiannya tertuju hanya kepada dunia, maka Allah akan memperbanyakkan masalahnya dan menjadikan kefakiran di depan matanya. Ia akan bangun pagi dalam keadaan fakir dan masuk ke petang dalam keadaan fakir.” – Imam Hasan al-Basri.
Puasa Pakej Rendah (Awam)

ü  Puasa dengan menahan diri daripada makan, minum, jimak termasuk perihal yang membatalkan puasa. 
ü  Puasa sebegini digemari oleh kebanyakan orang tetapi kurang popular kerana sangat sukar merangkul taqwa.
ü  Hasil puasa ini perlukan usaha berterusan, jika tidak digilap ianya menjadi faktor penyumbang terbesar kepada isu, konflik dan pelbagai masalah tidak kira bulan Ramadan atau bulan-bulan yang lain.
ü  Karektor hamba ini lalai menjaga ibadah fardu, sangat berkira-kira ibadah sunat, sangat pakar dalam urusan dunia tetapi jahil soal akhirat dan hidup seperti ini hatinya tertutup mengenali Tuhan.
ü  “Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia tidak boleh melakukan solat dengan benar.” – Imam Hasan al-Banna.

Agak-agak kita mahu pakej yang mana? Semak taraf kita di sisi Allah. Apa yang boleh kita baiki? Insya-Allah, bersama kita semarak Ramadan seisi keluarga.

Buang yang keruh, ambil yang jernih.     

Wallahua'lam.
HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2016 QALAM ARDINI 

No comments: