Tuesday, 19 April 2016

Kalkulator Fidyah

Maklumat fidyah ini khusus untuk penganut Islam yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja. Mohon rujuk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing untuk maklumat lanjut.
FIDYAH
Fidyah ialah denda ke atas individu Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadan.
Hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Fidyah dan Kaffarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ianya kemudian akan diagihkan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan.
HUKUM FIDYAH
  • Hukum membayar fidyah adalah wajib.
  • Wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
  • Ianya menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah Taala sekiranya tidak dilaksanakan.
PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH
Kiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Bangunan Daruzzakah secara tunai atau melalui cek atau pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN. Boleh juga dibayar menerusi atas talian. Sebaiknya, hadir ke Majlis Agama Negeri masing-masing.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh Majlis Agam Negeri di sesuatu tempat. Kiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
SEBAB-SEBAB FIDYAH
1.    Uzur syarie.
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2.    Wanita hamil.
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3.    Ibu yang menyusukan bayi
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4.    Meninggal dunia.
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5.    Melambatkan Qada’.
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
TAKSIRAN FIDYAH
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
KADAR BAYARAN FIDYAH
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.75.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadan, maka kadar fidyahnya ialah:-
RM1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM15.75.

Wallahu’alam.

Sumber : Laman Rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2016 @ QALAM ARDINI

No comments: