Monday, 28 December 2015

Warkah Cinta Ayahanda

“Amboi! Menung apa tu?”
“Ayah! Terkejut Lauzah.”
“Teringat siapa?”
“Maaf. Apa ayah cakap tadi?”
            “Ayah tanya, fikir apa?”
“Adalah. Malu mahu cerita.”
“Lauzah risaukan ayahkah?”
“Mana ada. Lauzah okay.”
            “Tengok gaya, macam tak okay. Kenapa ni?”
“Banyak yang Lauzah fikirkan. Bingung.”
“Fikir apa? Berdebar untuk bergelar isteri solehah?”
“Itu salah satunya. Bahagia, gembira, sedih dan macam-macam yang Lauzah rasa.”
“Itukan fitrah. Fikir campur zikir sama dengan Ulul Albab.”
“Subahanallah! Kalkulator rumah tangga?”
“Ya. Anak ayah bakal berumah tangga. Ayah yakin, Lauzah sudah bersedia.”
“50-50. Sedih, sebab lepas ni, Lauzah tak boleh bermanja dengan ayah lagi.”
“Lauzah bermanjalah dengan suami mithali.”
“Yang pasti, kasih sayang ayah tiada pengganti.”
“Betul Lauzah sayangkan ayah?”
“Mestilah. Ini soal hati dan perasaan. Mana boleh kongsi.”
“Lepas ni, ianya perlu dibahagi.”
“Bahagi dengan siapa?”
“Bahagi dengan Allah, Rasul, suami, ibu, ayah, mentua, ipar-duai, anak-anak, keluarga dan sanak saudara.”
“Perkongsian syarie tanpa kompromikah?"
“Ya. Ibarat sebiji kek. Perlu dikongsi. Asasnya minda, spiritual dan jasmani.”
“Agak subjektif. Lauzah kena cuba dahulu.”
“Ingat, taqwa pada Allah walau di mana Lauzah berada.”
“Nampaknya Lauzah perlu jujur dalam soal cinta. Waktu yang sama, mujahadah bila cinta diuji.”
“Memang benar.”
“Bagaimana pula, fikir campur zikir sama dengan Ulul Albab?”
“Oh, soal itu. Buat apapun misinya akhirat. Ladangnya dunia. Alatnya, belajar dan beramal.”
“Ini peluang baru. Lauzah pasti boleh!”
“Insya-Allah. Jika beginilah fikrahnya, ayah doakan bahagia hingga syurga.”
“Amin Yaa Rabbal’alamin.”
“Wanita bergelar isteri dan ibu, kuncinya 3S.”
“Apa yang 3S tu ayah?
“Solat, sabar dan syukur.”
“Masya-Allah! Selain itu?”
“Sabar. Sabar. Sabar.”
“Allahukbar! 3S + 3S = 6S. Formula tu, untuk suami ke isteri?”
“Tentulah buat suami dan isteri.”
“Okay. Ayah, betulkah mendidik anak itu, bukan perkara mudah?”
“Memang benar. Rujuk buku Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jilid 1 dan 2 – Abdullah Nasih ‘Ulwan.”
“Subhanallah! Tentu buku tu hebat dan menarik.”
“Insya-Allah. Bacalah dengan mata hati. Mudah dan praktikal.”
“Bagaimana jika kami tidak mampu melahirkan generasi Ulul Albab?”
“Ayah rotan Lauzah dulu!”
“Ayah, Lauzah serius ni.”
“Muhasabah puncanya. Semak solat fardu dan baiki.”
“Realitinya, pengalaman dan cabaran, akan mendewasakan. Usaha tangga kejayaan.”
            “Lauzah tahu tak, bahagia itu kita cipta di sepanjang jalan?”
“Lauzah setuju. Itupun sebab restu.”
“Jadikan iman dan amal soleh, pendamping akrab hingga hujung usia.”
“Insya-Allah.”
“Jika diuji, bukan mengadu di laman sosial.”
“Ada klinik khas ke ayah selain laman sosial?”
“Klinik khas tu, tiadalah. Penawarnya, ada.”
“Bagaimana ayah?”
“Bacalah kalamullah. Hayatilah maksudnya. Mahu atau tidak, ingat mati.”
“Jika hati masih resah?”
“Komunikasi amat penting. Pemilihan perkataan. Sesekali tersasul, biasalah.”
“Lauzah ego. Lelaki pun ada ego.”
“Lelaki yang baik, untuk wanita yang baik. Suami yang soleh, ada sifat pemimpin.”
“Ini kes berat!”
“Mahu atau tidak, diri kita mesti baik dahulu.”
“Subhanallah! Yang pasti, Lauzah tidaklah mengharapkan bintang dan bulan.”
            “Kita yang mencipta suasana, bukan suasana menguasai kita.”
“Maksud ayah, silap itu datang dari Lauzahkah?”
            “Tidak semestinya. Jika ada silap faham, bincang dari hati ke hati. Jauhi prasangka, kerana ianya dusta dan binasa.”
“Ayah, bolehkah dia menyayangi Lauzah sama seperti ibu dan ayah?”
            “Boleh. Pastikan, Allah dan Rasul lebih kita cintai. Barulah suami. Insya-Allah, cerah hidup Lauzah.”
“Mentarbiyah permata soleh dan solehah, mesti susahkan?”
            “Perlukan pengorbanan dan mujahadah. Ianya tanggung jawab suami dan amanah isteri.”
“Lauzah harap, biarlah anak-anak cinta Nabi, cinta keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”
            “Insya-Allah. Jika kita sayang anak-anak, didiklah dengan apa yang Allah dan Rasul kata.”
“Lauzah teringat, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.”
“Memang benar. Libatkan campur tangan Allah setiap saat.”
“Ayah, tolong rahsiakan cerita kita.”
            “Insya-Allah. Biarlah rahsia.”
“Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.”

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Tuesday, 22 December 2015

Hati Adam & Hawa

Manusia dan ujian bagai irama dan lagu. Ianya tidak boleh dipisahkan. Jika kita beriman dengan hari Akhirat, kita akan mencari damai demi mengukuhkan iman dan amal kepada Allah. Meminjam kata-kata pengarang Mufti Wilayah dalam buku Baity Jannati Rumahku Syurgaku.
Berikut adalah realiti ujian suami isteri untuk kita insafi dan cakna.
+ Isu laman sosial.
+ Perangai yang terlalu jauh beza.
+ Isu komunikasi.
+ Stres.
+ Isu biologi.
+ Menyakiti pasangan secara lisan dan perbuatan.
+ Campur tangan keluarga.
+ Isu orang ketiga.
+ Isu anak-anak.
+ Isu kewangan.
+ Isu tidak mahu berubah.
+ Culas dengan peranan dan tanggung jawab.
+ Tiada keseimbangan profesion. (Sekufu)
+ Kurang menghargai pasangan.
+ Isu dendam.
+ Isu isteri atau suami yang derhaka.
Rumah tangga yang dibina adalah masjid untuk mencipta suasana bahagia. Semua mahu menjadi soleh dan solehah bagi menempah jannah yang abadi. Yang pasti, pasangan suami isteri tidak sunyi dari ujian. Ianya sudah tercatit di Luh Mahfuz.
Soalnya, bagaimana kita komited mencari solusi. Bahkan tidak menzalimi diri sendiri.
Mahu atau tidak, Islam ada penawarnya. Jika pasangan sudah merasai bibit-bibit punca yang dinyatakan tadi, carilah masa yang rasional untuk selesaikan segera. Kita muhasabah punca pertelingkahan. Bincang dari hati ke hati. Usah dibiarkan hingga memberi kesan kepada fikiran, emosi dan jasmani. Setiap masalah itu pasti ada jalan keluar.
“Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam bertinju, tetapi orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Bukhari]
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Rumah tangga mana yang tidak diuji dengan krisis. Sesekali berlaku silap faham, ianya fitrah demi mematangkan pasangan. Jika berlaku krisis rumah tangga, bersamalah hadapi atas iman.
“Takutilah Allah dalam hubungan isteri. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan persetubuhan bersama mereka dengan kalimah Allah.”
[Terjemahan Hadis Riwayat at-Tirmizi]
Elakkan amarah menguasai fikiran. Kenangkan pengorbanan isteri yang telah menerima suami seadanya. Pandang wajah isteri dengan penuh kasih sayang. Firkirkan anak-anak yang mahu perhatian dan didikan suami dan isteri.
Yakinlah setiap yang berlaku pasti ada teguran secara tidak langsung dari Allah. Cuba cari punca dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri tauladan. Hati yang berkecamuk akan mula kendur bila istighfar dan taubat dilaksanakan. Doa juga perisai terampuh.
“Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku orang yang paling baik terhadap isteri aku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia, Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Hakim]
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI



Monday, 21 December 2015

Terima Nabi s.a.w. Sepenuh Hati

Sudah tiba masanya, kita meraikan pandangan kariah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti masjid. Ianya tidak hanya dijadikan pusat untuk ibadah solat dan majlis ilmu semata-mata. Kita boleh menyusun strategi agar tumpuannya turut dipelbagaikan.
Umpamanya, membentuk kelab belia, kelab ibu, kelab bapa dan kelab kanak-kanak. Menerusi kelab-kelab yang dianggotai oleh kariah, akan dorong mendorong setiap kali aktiviti hendak dilaksanakan. Kemeriahan lebih bermakna kerana sama-sama berukhuwah demi kesatuan ummah sejagat.
Sebagai permulaan, sambutlah bulan-bulan kebesaran Islam dengan aktiviti seperti majlis ilmu. Luaskan lagi dengan menganjurkan aktiviti interaktif seperti pertandingan yang bersesuaian untuk semua peringkat umur. Secara tidak langsung, melantik jawatankuasa dan menarik kariah hadir bersama keluarga.
Kepada yang gemar memberi komen, adalah lebih bermakna jika disertakan dengan solusi. Sebagai contoh, usah hanya melihat sampah atau membiarkan lampu terpasang. Lebih wajar jika kita sendiri yang membuangnya dan menutup suis lampu. Ini adab dengan masjid. Hal kecil ini, tidak mustahil dinilai tertinggi di sisi-Nya jika ikhlas menguasai diri kita.
Kita yakin bahawa, semua magnet kebaikan masjid akan melekat pada diri kita sendiri. Jika baik niatnya, maka baiklah hasilnya. Jika sebaliknya, bersegeralah istighfar berkali-kali. Luasnya rahmat Allah melebihi kemurkaan-Nya selagi kita bertaubat dan beristighfar. Ini janji Allah dan Rasul yang perlu dipegang erat-erat.
Bagi yang diamanahkan mentadbir masjid, taqwalah yang menjadi teman akrab tanpa jemu. Kita berlapang dada bagi memastikan misi utama aktiviti yang disepakati dilaksanakan seoptimumnya. Dorong mendorong masih menjadi keutamaan selepas mesyuarat bagi merungkaikan isu jika ada.
Suka atau tidak, jika taqwa itu perisai terampuh, semua yang dipelan pasti mendapat tempias bersama. Syaratnya, semua pihak meletakkan akidah sebagai asas utama. Matlamat tercapai dan persaudaraan turut dirasai bersama. Muafakat itu berkat.
Kita beriman dengan para Nabi dan Rasul. Tetapi sejauh mana kita beriman untuk mencontohinya? Benar, tiada jalan pintas, sebagaimana jalan ke syurga. Namun, ianya perlu bermula. Maka, berterusanlah berusaha, berdoa dan bertawakal setelah benar-benar mencuba sehabis daya.
Kita yakin, di sepanjang perjuangan kita, tiada yang sia-sia kerana pasti dihisab oleh Yang Maha Bijaksana. Apapun, masjid masih mendamaikan para pengunjungnya tanpa mengira usia di mana jua. Jika kita menjaga hak Allah, Allah pasti akan menjaga hak kita.
Berusahalah meninggalkan status sosial kita sebaik langkah kanan ke masjid. Bayangkan kita ini hanya hamba Allah yang hina. Berasal dari air yang hina, keluar dari tempat yang hina dan bakal kembali ke tempat asal kita. Hanya, membawa hati sejahtera ke alam kekal abadi.
Dalam apa aktiviti anjuran masjid, dahulukan adab kerana ia magnet kekal dan disenangi manusia. Sesungguhnya, manusia akan kenang kerana kebaikan kita, bukan status sosial kita. Kebaikan akan kekal, insya-Allah. Justeru, komited mencipta solusi, bukannya komited menzalimi diri sendiri.
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakitinya (perasaan penerima)…..”

[Terjemahan al-Baqarah ayat 264] 
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI

 

Wednesday, 16 December 2015

Lahar Media Skrin

"Pernah tengok filem Hijrah Pendosa?"
"Tengok di sebalik tabir. Kenapa ya?"
"Percaya tak, skrip tu idea Suhail dan tim."
"Bukankah filem Hijrah Pendosa dapat sambutan?"
"Kecewa dengan diri sendiri. Itu sahaja."
"Apa maksudnya?"
"Suhail hantar skrip kepada sebuah produksi. Tiada jawapan."
"Kemudian, apa yang terjadi?"
"Tiba-tiba salah seorang tim terperanjat filem Hijrah Pendosa sudah ditayangkan di pawagam."
"Astaghfirullah. Suhail pastikah?"
"Suhail sanggup buat kajian di hospital bagi mendalami realiti sebenar sebelum tulis skrip."
"Menjiwai betul. Itu suatu teknik mencetus idea. Bagus!"
"Ikutkan sudah banyak Suhail hantar skrip tanpa mengetahui statusnya."
"Hantar proposal ke skrip?"
"Proposal atau skrip bukan isunya. Ada pendek ada panjang. Idea yang sudah berkali-kali Suhail hantar. Semua tiada maklum balas."
"Setahu kami, itu harta intelek. Mustahil produksi tidak faham soal itu."
"Bukan sedikit, ramai produksi yang tersohor kami hantar semuanya mengecewakan."
"Hairan betul. Soal halal haram, buat main-main.”
"Entah mana silapnya."
"Lagi dahsyat, buat tak kisah dengan penulis skrip yang baru membina nama."
"Suhail tidak bincang dengan produksikah?"
"Yang Suhail tahu, idea mencurah-curah. Kami buatlah skrip bersama. Siap kami hantar."
"Bukan semua produksi begitu."
"Setahu kami, mereka adalah nama besar dalam industri. Tolonglah."
"Ada bincang semula?"
"Mahu bincang apa, majoriti skrip kami sudah main di layar skrin? "
"Cubalah bincang. Terlepas pandang barangkali."
"Kami sudah serik. Sekarang kami fokus bisnes sendiri."
"Mengapa tidak rujuk dengan pihak yang lebih arif?"
"Industri ni sudah berapa lama? Belum matang lagikah soal halal haram?"
"Ada logiknya. Belum jumpa insan yang mahu kongsikan rantaian industri ini secara telus agaknya."
"Ada perkara yang hanya guna common sense. Tidak semestinya belajar secara formal."
"Itu satu hal. Jika ada peluang begitu, itu satu rezeki."
"Isunya, pemurnian akidah terhadap semua rantaian terlibat. Ianya perlu diperkasakan."
"13 tahun Nabi s.a.w. dakwah isu tauhid, iman, dosa, pahala, adab dan sedikit isu syariat."
"Allahuakbar! Mahu patuh syariah, perlu tanamkan isu akidah dan adab dahulu."
"Apa tidaknya, cukuplah Suhail dan tim jadi mangsa. Asalkan sahabat seakidah selamat."
"Ini isu pokok yang wajib kita perkasa segera."
"Modul Nabi s.a.w. tidak pernah menghampakan."
"Setuju! Tinggal lagi bagaimana kita mahu terjemahkan dalam industri ini untuk manfaat sejagat."
"Siapakah individu yang berada di rantaian industri begini Suhail?"
"Suhail dan tim perlu ada produksi baru tulis skripkah?"
"Perlu rangkaian rakan niaga."
"Suhail dan tim belum cuba pula jumpa pihak stesyen tv."
"Inilah yang kita sedih. Jika ada rujukan seperti al-Quran dan hadith, tentu Suhail dan tim bermotivasi."
"Ini soal iman. Bila iman menjadi tujuan, pasti Allah bagi jalan."
"Jihad untuk kita yang meyakini akan pertemuan dengan janji-janji Maha Benar."

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Friday, 11 December 2015

Masjid Global

“Zarfan fikir, sudah sampai masanya kita bertindak segera.”
“Alhamdulillah. Idea kita telah lulus.”
“Ini suatu amanah dan ihsan kita bersama.”
“Ezra tidak nampak ianya mustahil.”
“Nabi s.a.w. telah menjadikan masjid sebagai medium melahirkan ummah cemerlang.”
“Setuju. Masjid adalah pusat ibadah, sahsiah, pendidikan, ekonomi, pentadbiran, sosial, budaya dan sumber manusiawi.”
            “Zarfan sudah siapkan  kertas kerja terperinci.”
“Bagaimana kita bermula?”
            “Fokus kita adalah kepada kanak-kanak dan remaja.”
“Baik. Kita gilap dan programkan spesifik untuk 2 sasaran itu.”
“Kita adakan program mencari bintang 3 kali setahun.”
“Betul. Kita adakan sewaktu awal, pertengahan dan akhir tahun cuti sekolah.”
            “Isi kandungan wajib ada silibus akidah dan adab. Ada elemen intelek, rohani dan jasmani.”
“Kita sinergikan semuanya agar interaktif dan santai.”
            “Penekanan adalah soal akidah dan adab masa kini.”
“Syabab Sepenuh Masa. Bermula umur 9 hingga 18 tahun.”
            “Dari program itu, kita mahu cari pelapis dan ikon syabab sepenuh masa.”
“Menarik. Ianya jadi pemangkin kepada pemenang dan motivasi kepada para peserta.”
            “Masya-Allah. Kita kenal pasti potensi anak-anak. Gilap untuk melahirkan syabab Rabbani.”
“Para juri adalah mereka yang profesional dalam pelbagai industri.”
            “Kita bakal melahirkan pelapis seperti imam, bilal, dai’, pemimpin, sukarelawan, akauntan, pereka grafik, juru gambar, usahawan atau kepakaran berkaitan sebagai fardu kifayah.”
“Setuju. Dana bukanlah isu kerana kita ada bajet.”
            “Insya-Allah, dana yang sedia ada sudah cukup.”
“Kita masih boleh raikan para dermawan yang mahu menjadikan medium ini sebagai amal jariah mereka.”
            “Buat masa ini, penyertaan di buka untuk kariah sini.”
“Jika ada dari luar, bagaimana?”
            “Sebaik-baiknya, kita utamakan kariah sini kerana para peserta tidak bermalam.”
“Betul. Bimbang akan mengganggu kelancaran program yang padat.”
            “Faktor disiplin, penglibatan, jawatan dan profil diri para peserta akan diambil kira.”
“Ini semua berkaitan dengan pembinaan sahsiah.”
            “Ya. Adalah satu bonus kepada para peserta yang cemerlang di sekolah masing-masing.”
“Ini pun suatu penanda aras untuk pemudah cara.”
“Dari situ kita adakan beberapa sesi ujian demi ujian demi ujian.”
“Kita mahu saring sistematik demi mencapai objektif asal.”
            “Ini seperti kerja konsultan di peringkat korporat.”
“Mungkin. Tidak salah kita implementasi mengikut kesesuaian masjid.”
            “Umpamanya kita sudah ada bahan mentah seperti nasi.”
“Terpulang kita mahu masak nasi apa dan inovasikannya.”
            “Tanpa mengetepikan asas-asas syariah semestinya.”
“Mengambil ibrah dari kisah Nabi s.a.w. berdakwah.”
            “Setuju. Nabi s.a.w. menekankan silibus akidah dan adab.”
“Sedikit sahaja berkaitan syariah. Kita perkasakan rukun iman dan adab syabab Rabbani.”
“Baik. Mari kita semak profil para pelajar yang pernah masjid nobatkan cemerlang.”
“Data anak-anak UPKK, UPSRA, UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM.”
            “Bagaimana dengan fasilitator?”
“Kita raikan para sukarelawan kariah masjid kita.”
            “Ada syarat tertentukah?”
“Buat permulaan, terbuka sama ada solat atau tidak.”
“Tiba masanya kita bantu membantu baiki dan sempurnakan solat berjemaah.”
“Baik. Ini juga tugas dahwah.”
“Amar makruf nahi mungkar ini luas konsepnya.”
“Para sukarelawan juga ada modul khusus yang Zarfan sediakan.”
“Kita dorong mendorong menjadi Muslim Sepenuh Masa.”
“Mari kita mulakan sekarang.”
“Bismillah.”
Cinta Allah, Hayati Sunnah
Nabi s.a.w. adalah sumber inspirasi ummah. Banyak dalil yang para ulamak karang yang boleh kita jadikan rujukan. Sejarah telah tercatit bahawa masjid telah melahirkan para ummah cemerlang dunia dan akhirat.
Zarfan, Ezra dan semua pihak yang terlibat secara rasmi atau tidak rasmi bekerjasama mengikut kemampuan seadanya. Masing-masing mengetepikan habuan fana’ demi jihad yang kerap diulang-ulang Allah dan Nabi s.a.w.
Modul latihan dan kemahiran bakal dibangunkan berasaskan unsur-unsur berikut:-
+ Tauhid kepada Allah.
+ Cinta Allah dan Rasul.
+ Cinta Akhirat.
+ Menghayati Amalan Sunnah.
+ Tokoh Dai’.
+ Tokoh Ilmuan Terulung.
+ Ukhuwah dan Kasih Sayang.
+ Akhlak Mulia.
+ Amanah dan Kuat Bekerja.
Amar makruf nahi mungkar menerusi masjid adalah medium terbaik bagi melahirkan insan Rabbani. Ianya bukan mustahil jika kita mahu, faham dan hayati bersama. Beberapa buah masjid seperti As-Salam Puchong Perdana Selangor, Masjid al-Falah USJ9 Subang Jaya dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Inilah antara contoh masjid yang telah mengimarahkan fungsinya secara optimum.
            Kita masih ada peluang mencipta saham akhirat kekal menerusi kaedah ini. Moga usaha kecil ini dinilai besar disisi Allah. Cinta Allah, hayati sunnah Rasulullah s.a.w. 
“Maka hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar.”
[Terjemahan an-Nisa’ ayat 9] 

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Tuesday, 8 December 2015

Diagnosis Hati

“Zarith, esok pakai lawa nak sambut ketua baru.”
“Hehem, apa selama ni Zarith pakai tak lawalah?”
“Bukan macam tu. Lebih lawa jika ianya disertai dengan senyuman.”
“Bab tu, Zarith tak janji. Kalau berlagak, jangan harap Zarith nak bagi muka.”
            Pagi ini, emosi Qabsah bercampur-baur. Dia cuba beristighfar dan berselawat. Pertemuan pertama itu disambut dengan mesyuarat tertutup.
Jam menunjukkan hampir 9:00 pagi. Namun, kelibat Zarith belum kelihatan lagi. Qabsah mengeluarkan telefon pintarnya. Tiba-tiba, Whatsapp diterima.
 “Datanglah cepat ke bilik Mesyuarat Bukhari.”
“Ok. Qabsah datang sekarang.”
“Bilik dah makin penuh ni. Zarith ada di sebelah kanan, berhampiran papan buletin.”
“Qabsah silap baca emel ke? Bukankah ianya ditunda lewat sejam? Atau, setiausaha telah mengirim emel kemas kini.”
“Cik Qabsah, baca emel ke tak?”
“Tentulah  baca. Kenapa ramai ni? Ada perubahan ke?”
“Tak baca whatsapp ke? Saat-saat akhir, ada perubahan.”
“Mengumumkan ketibaan YM Tengku Miqdam Tengku Ahmad, Pengerusi Biro Pembangunan Masjid yang baru. Dipersilakan.”
“Assalamua’alaikum semua. Terima kasih atas kehadiran Tuan-tuan dan Cikpuan sekalian. Oleh kerana ini hari pertama saya di alumni ini, saya perlukan sokongan semua. Buat masa ini, saya hanya ingin memberikan taklimat ringkas, hala tuju kita agar kita dapat berperanan demi kebaikan bersama.”
Spa Hati
            Bagi orang yang beriman dengan hari Akhirat, dia akan cuba menyibukkan diri untuk mencipta manfaat. Seboleh-bolehnya, berlumba-lumba membuat amar makruf nahi mungkar. Semua yang datang kepadanya, adalah terbaik tanpa syak wasangka.
            Ilmu itu cahaya, jahil itu bahaya. Carilah ilmu dengan membaca, mendengar atau menghadiri majlis-majlis ilmu. Cubalah bersahabat dengan orang yang soleh dan solehah.
            Sabar dan solat bagai isi dan kuku. Cubalah perbaiki dengan menghadiri seminar atau bengkel solat. Kemungkinan, solat kita sama sewaktu di tadika, sekolah dan era universiti atau kolej. Baiki dan gilap agar mendapat kusyuk ketika solat fardu.
            Tingkatkan sedekah jariah dan selawat. Ringankan mulut dan tangan untuk memberi dalam apa jua bentuk seperti wang, masa, tenaga, senyum, buah fikiran, makanan atau minuman. Banyakkan selawat terutamanya pada setiap hari Jumaat.
            Fitrah manusia tidak lari dari membuat silap. Oleh itu, selain menjaga ibadah fardu dan menambah amal soleh dengan ibadah sunat secara istiqamah, buatlah solat sunat taubat. Sesungguhnya, pengampunan Allah itu lebih luas dari kemurkaan-Nya. Pastikan kita komited untuk taat dengan segala perintah-Nya. Malah komited menjauhi segala larangan-Nya.
            Islam itu asasnya adalah tauhid, prinsipnya syariah dan hasilnya ialah akhlak. Ketiga-tiga elemen ini perlu seiring dan dijadikan gaya hidup dalam semua ruang lingkup. Meskipun ianya bukan mudah, namun ianya perlu ditempa.
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan ‘hayyatan toyyibah’ dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”
[Terjemahan an-Nahl ayat 97]
Apa jua situasi yang memerlukan kebaikan, pasti berbalas dengan kenikmatan. Itulah kemanisan iman. Jika kita berjaya mendamaikan saudara sesama Islam, biarlah ianya ikhlas hanya kerana Allah. Mudah-mudahan, ianya menjadi asbab meraih cinta Allah dan kasih Rasulullah s.a.w., pastinya.
“Sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika ianya baik, maka baiklah seluruh tubuh badan. Jika ianya rosak, maka rosak binasalah seluruh tubuh badan. Ketahuilah bahawa seketul daging itu ialah hati.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim] 

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.



Monday, 7 December 2015

Hati Pendosa

"Astaghfirullah. Banyaknya dosa. Rasa macam gunung mahu hempap kepala."
"Syukurlah, belum buat dosa besar lagi."
"Namakan dosa kecil, Tuhfah jaguhnya."
“Solat 5 waktu sudah."
"Nak kata ibu dan ayah salah? Nauzubillah!" 
Tuhfah pegang al-Quran lalu dibacanya. Semakin hari membaca, Tuhfah mula mencari tafsir untuk memahami kalam-Nya. Leka mentaddabur, luput musibah yang melanda hati yang lara.
Tuhfah berhijrah. Majlis-majlis ilmu menjadi rutin. Tanpa mengira status penyampai ilmu, Tuhfah khusyuk menghayati. Tidak cukup, Tuhfah melayari internet sambil bergaul dengan orang yang mengajak berbuat ketaatan.
Tuhfah pernah disapa oleh seorang hamba Allah. Penampilan seakan seorang berwibawa. Makin disantuni, butiran bicaranya banyak mengandungi hikmah. Tuhfaoptimis dan memberanikan diri.
"Assalamua'laikum. Saya Tuhfah dari unit Kewangan. Saya baru bertukar di sini,” mesra memulakan ukhwah.
“Tahniah. Panggil saya Hasya. Saya berkhidmat di unit Media. Jemputlah datang lagi. Kuliah Zuhur dan solat berjemaah," sapaan disambut mesra.
“Tengoklah nanti. Sibuk dan letih. Silap Tuhfah, lewat bab solat,” terang Tuhfah.
“Insya-Allah, jika kita jaga Allah, Allah pasti akan jaga kita."
"Tuhfah masih marathon. Biasalah, suasana baru."
"Saya yakin Tuhfah seorang yang komited dan untung dapat pekerja seperti Tuhfah,” Hasya menuturkan kebenaran.
“Jika kita jaga Allah, Allah pasti akan jaga kita. Maaf, maksud Hasya?"
"Hasya dulu pun cuai. Syukurlah, sudah berhijrah."
"Patutlah selama ini semuanya terasa kosong dan hambar,” Tuhfah cuba mendapat kepastian.
“Tahniah! Teruskan penghayatan dengan mengikhlaskan amal ibadah semata-mata kerana Allah."
"Insya-Allah. Sedang berperang dengan diri sendiri."
"Pelihara solat setiap kali masuk waktunya."
"Insya-Allah, masih bertatih lagi."
"Hasya pernah kecewa. Syukurlah Allah masih beri peluang kedua,” tutur Hasya lembut.
Bicara dari sahabat yang baru dikenalinya Hasya, telah mendamaikan jiwa kacau Tuhfah. Isinya yang manis menggilap sinar baru yang selama ini penuh misteri. Mesra, namun amat menenangkan hati nurani. Paling manis, optimis sedangkan Tuhfah jaguh pendosa.

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Friday, 4 December 2015

Israk Dosa Mikraj Kifarah

Pernahkah kita merasai bagaimana asam garam menjaga orang sakit? Ada masanya, ia benar-benar menguji kesabaran bergantung kepada situasi. Ada juga yang memilih untuk berdiam diri. Hanya memendam kemarahan bagi menjaga hati pesakit.
Realitinya, bukan mudah menjaga orang sakit. Banyak kerenahnya dituruti dan sabar adalah kuncinya. Sesetengah berpendapat, ibu lebih rela menjaga anak yang sakit berbanding orang dewasa.
“Hizal, penyakit manusia itu berpunca dari syubhat, syahwat dan jahil. Ammar bukanlah sempurna, tetapi kita sama-sama menuju ke arah itu.”
“Maksud Ammar? Hizal menyusahkan keluarga kerana sakit?”
            “Sakit ini datangnya dari siapa? Siapa pula yang sembuhkannya?”
“Tentulah Allah. Tidak ada orang yang ingin sakit. Jika keluarga rasa susah menjaga Hizal, lebih baik tidak maklum pada keluarga.”
            “Betulkah pemikiran Hizal tentang keluarga? Siapakah yang meracuni fikiran Hizal hingga bersangka buruk dengan keluarga?”
Hizal hanya terdiam tanpa kata-kata. Ujian sakitnya, belum menginsafkan dirinya. Malah, makin ego dan sombong sesama ahli keluarga.
“Setahu Ammar, keluarga kita tidak meninggalkan harta melainkan ilmu. Ilmulah yang membawa kita kepada cahaya.”
“Ammar, hulurkan buku itu. Nampak menarik tajuknya. Al-Quran pelangi pun ada?”
“Hizal, jika kawan itu lebih baik dari keluarga, pastikan al-Quran pelangi lebih akrab. Kami rela.”
“Hizal tahulah. Keluarga yang bersangka buruk dengan Hizal. Sebab itulah kita tidak mesra.”
            “Itulah Hizal. Keluarga sehabis baik sangka, dikatanya buruk sangka. Yang pasti, sejak berkerjaya dan berkawan, Hizal yang berubah.”
“Cukup Ammar. Sama-sama kita muhasabah. Doakan sahaja yang baik-baik.”
            “Doa tanpa ikhtiar, sia-sia. Pokok pangkalnya, baca al-Quran pelangi ini.”
“Cantiknya! Selalu mengaji tidak faham makna. Kali ini ada tafsirnya.”
            “Ammar keluar sekejap. Hizal mahu kirim apa-apa?”
“Baru lepas bedah. Pantang lagilah.”
Ammar tinggalkan Hizal sebentar agar dia berehat. Moga Allah sembuhkan hati dan dirinya.
“Ya Allah, buatkan kami mencintai iman dan hiaskannya dalam hati-hati kami. Buatkan kami membenci kekufuran, kefasikan dan maksiat. Jadikanlah kami dalam golongan ar-rasyidin.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasai’]

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.