RAHSIA SIHAT KAYA DAN BERJAYA SAMPAI SYURGA
Setiap urus niaga yang hendak diiktiraf oleh Islam hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh syarak. Menurut Pakar, pantang-larang syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas simptom muflis utama iaitu:
a) Membantu kepada perbuatan maksiat.
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan.
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan.
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad.
(Al-Halal wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, halaman 242)
Lebih kritikal, antara unsur yang dilarang oleh syarak dalam urusan perniagaan termasuklah:-
1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat.
Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau seglobalnya.
2) Al-gharar.
Jika urus niaga yang dilaksanakan dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha' sepakat menyatakan bahawa jual beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit dalam hadis yang bermaksud:
"Rasulullah s.a.w. menegah jualan secara gharar dan jualan secara lemparan batu."
3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga.
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud;
"Sesiapa menipu, maka ia bukan daripada golonganku."
Antara contoh penipuan yang menjadi wabak terkini termasuk:-
(a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan ini dinamakan al-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploitasi kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya menjual barangan/produk yang hanya bernilai RM20 dengan harga RM200 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan seperti menjual buah-buahan yang rosak bercampur dengan yang elok kemudian di timbang dan dijual.
4.) Menganiaya pengguna dan masyarakat.
Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat. Contohnya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:
"Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa."
Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urus niaga akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.
Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM.
Justeru, wahai para usahawan Mukmin, mari kita online dengan ilmu dan offline dengan jahil demi mencegah bersama. Ketahuilah, bahawa matlamat tidak pernah menghalalkan cara kerana racunnya sangat bisa dan merbahaya. Mari betulkan niat dan perbaiki cara.
Rawatan cara Rasul s.a.w. memudahkan terapi makmal di Akhirat.
Perintis Penulis Islamik - Qalam Ardini.
HAK CIPTA TERPELIHARA @ QALAM ARDINI 2013
No comments:
Post a Comment