Thursday, 3 December 2015

Solat Sepenuh Masa

Kita sering kali diingatkan bahawa solat itu tiang agama. Namun, sejauh mana kita memahami peranan dan keutamaannya? Kita bersolat tetapi solat itu tidak memberi kesan ketika di luar solat, mana silapnya?
            Solat, selain tahu peraturan dan undang-undang ada mesej yang wajar kita fahami. Solat itu perisai terampuh bagi mencipta tentatif seharian sama ada baik atau buruk. Intelek, emosi dan jasmani saling perlu memerlukan bagi memastikan ianya stabil dan berstamina dengan apa yang Allah dan Rasul kata.
Allah dan Rasul telah menjamin kepada setiap hamba yang berjihad mendirikan solat dengan khusyuk. Efeknya lebih efektif. Bagaimana? Syaratnya mestilah dengan ilmu dan diiringi amal serta penghayatan.
Usai mendirikan solat, maka ingati Allah semasa kita berdiri atau duduk dan semasa kita berbaring. Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman), maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
[Terjemahan An-Nisa’ ayat 103]
Antara rahsia untuk khusyuk dalam solat ialah fahami tujuan solat. Hayati makna bacaan solat dari takbiratul ihram hingga memberi salam. Kemudian, basahkan lidah dengan istighfar sebagai terapi dosa. 
Latih diri menjauhi makan berlebihan. Carilah sumber rezeki yang halal. Banyakkan zikrullah seperti bertasbih dan bertahmid. Perkasakan dengan solat-solat sunat bagi menampung kekurangan solat lima waktu kita.
Cari jalan, bagaimana jika solat itu belum berkesan untuk memahat taqwa. Benarlah kata Nabi s.a.w.,
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab bagi seseorang hamba pada hari Kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia akan menang dan berjaya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka dia akan binasa dan rugi.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Imam Tirmizi]

HAK TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.



No comments: