Tuesday, 22 December 2015

Hati Adam & Hawa

Manusia dan ujian bagai irama dan lagu. Ianya tidak boleh dipisahkan. Jika kita beriman dengan hari Akhirat, kita akan mencari damai demi mengukuhkan iman dan amal kepada Allah. Meminjam kata-kata pengarang Mufti Wilayah dalam buku Baity Jannati Rumahku Syurgaku.
Berikut adalah realiti ujian suami isteri untuk kita insafi dan cakna.
+ Isu laman sosial.
+ Perangai yang terlalu jauh beza.
+ Isu komunikasi.
+ Stres.
+ Isu biologi.
+ Menyakiti pasangan secara lisan dan perbuatan.
+ Campur tangan keluarga.
+ Isu orang ketiga.
+ Isu anak-anak.
+ Isu kewangan.
+ Isu tidak mahu berubah.
+ Culas dengan peranan dan tanggung jawab.
+ Tiada keseimbangan profesion. (Sekufu)
+ Kurang menghargai pasangan.
+ Isu dendam.
+ Isu isteri atau suami yang derhaka.
Rumah tangga yang dibina adalah masjid untuk mencipta suasana bahagia. Semua mahu menjadi soleh dan solehah bagi menempah jannah yang abadi. Yang pasti, pasangan suami isteri tidak sunyi dari ujian. Ianya sudah tercatit di Luh Mahfuz.
Soalnya, bagaimana kita komited mencari solusi. Bahkan tidak menzalimi diri sendiri.
Mahu atau tidak, Islam ada penawarnya. Jika pasangan sudah merasai bibit-bibit punca yang dinyatakan tadi, carilah masa yang rasional untuk selesaikan segera. Kita muhasabah punca pertelingkahan. Bincang dari hati ke hati. Usah dibiarkan hingga memberi kesan kepada fikiran, emosi dan jasmani. Setiap masalah itu pasti ada jalan keluar.
“Orang yang kuat itu bukanlah orang yang kuat dalam bertinju, tetapi orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Bukhari]
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Rumah tangga mana yang tidak diuji dengan krisis. Sesekali berlaku silap faham, ianya fitrah demi mematangkan pasangan. Jika berlaku krisis rumah tangga, bersamalah hadapi atas iman.
“Takutilah Allah dalam hubungan isteri. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan persetubuhan bersama mereka dengan kalimah Allah.”
[Terjemahan Hadis Riwayat at-Tirmizi]
Elakkan amarah menguasai fikiran. Kenangkan pengorbanan isteri yang telah menerima suami seadanya. Pandang wajah isteri dengan penuh kasih sayang. Firkirkan anak-anak yang mahu perhatian dan didikan suami dan isteri.
Yakinlah setiap yang berlaku pasti ada teguran secara tidak langsung dari Allah. Cuba cari punca dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri tauladan. Hati yang berkecamuk akan mula kendur bila istighfar dan taubat dilaksanakan. Doa juga perisai terampuh.
“Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku orang yang paling baik terhadap isteri aku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia, Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.”
[Terjemahan Hadis Riwayat Hakim]
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI



No comments: