Monday, 21 December 2015

Terima Nabi s.a.w. Sepenuh Hati

Sudah tiba masanya, kita meraikan pandangan kariah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti masjid. Ianya tidak hanya dijadikan pusat untuk ibadah solat dan majlis ilmu semata-mata. Kita boleh menyusun strategi agar tumpuannya turut dipelbagaikan.
Umpamanya, membentuk kelab belia, kelab ibu, kelab bapa dan kelab kanak-kanak. Menerusi kelab-kelab yang dianggotai oleh kariah, akan dorong mendorong setiap kali aktiviti hendak dilaksanakan. Kemeriahan lebih bermakna kerana sama-sama berukhuwah demi kesatuan ummah sejagat.
Sebagai permulaan, sambutlah bulan-bulan kebesaran Islam dengan aktiviti seperti majlis ilmu. Luaskan lagi dengan menganjurkan aktiviti interaktif seperti pertandingan yang bersesuaian untuk semua peringkat umur. Secara tidak langsung, melantik jawatankuasa dan menarik kariah hadir bersama keluarga.
Kepada yang gemar memberi komen, adalah lebih bermakna jika disertakan dengan solusi. Sebagai contoh, usah hanya melihat sampah atau membiarkan lampu terpasang. Lebih wajar jika kita sendiri yang membuangnya dan menutup suis lampu. Ini adab dengan masjid. Hal kecil ini, tidak mustahil dinilai tertinggi di sisi-Nya jika ikhlas menguasai diri kita.
Kita yakin bahawa, semua magnet kebaikan masjid akan melekat pada diri kita sendiri. Jika baik niatnya, maka baiklah hasilnya. Jika sebaliknya, bersegeralah istighfar berkali-kali. Luasnya rahmat Allah melebihi kemurkaan-Nya selagi kita bertaubat dan beristighfar. Ini janji Allah dan Rasul yang perlu dipegang erat-erat.
Bagi yang diamanahkan mentadbir masjid, taqwalah yang menjadi teman akrab tanpa jemu. Kita berlapang dada bagi memastikan misi utama aktiviti yang disepakati dilaksanakan seoptimumnya. Dorong mendorong masih menjadi keutamaan selepas mesyuarat bagi merungkaikan isu jika ada.
Suka atau tidak, jika taqwa itu perisai terampuh, semua yang dipelan pasti mendapat tempias bersama. Syaratnya, semua pihak meletakkan akidah sebagai asas utama. Matlamat tercapai dan persaudaraan turut dirasai bersama. Muafakat itu berkat.
Kita beriman dengan para Nabi dan Rasul. Tetapi sejauh mana kita beriman untuk mencontohinya? Benar, tiada jalan pintas, sebagaimana jalan ke syurga. Namun, ianya perlu bermula. Maka, berterusanlah berusaha, berdoa dan bertawakal setelah benar-benar mencuba sehabis daya.
Kita yakin, di sepanjang perjuangan kita, tiada yang sia-sia kerana pasti dihisab oleh Yang Maha Bijaksana. Apapun, masjid masih mendamaikan para pengunjungnya tanpa mengira usia di mana jua. Jika kita menjaga hak Allah, Allah pasti akan menjaga hak kita.
Berusahalah meninggalkan status sosial kita sebaik langkah kanan ke masjid. Bayangkan kita ini hanya hamba Allah yang hina. Berasal dari air yang hina, keluar dari tempat yang hina dan bakal kembali ke tempat asal kita. Hanya, membawa hati sejahtera ke alam kekal abadi.
Dalam apa aktiviti anjuran masjid, dahulukan adab kerana ia magnet kekal dan disenangi manusia. Sesungguhnya, manusia akan kenang kerana kebaikan kita, bukan status sosial kita. Kebaikan akan kekal, insya-Allah. Justeru, komited mencipta solusi, bukannya komited menzalimi diri sendiri.
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakitinya (perasaan penerima)…..”

[Terjemahan al-Baqarah ayat 264] 
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI

 

No comments: